Rahsia potensi diri

Wednesday, April 8, 2009

Dalam kehidupan, pasti ada masa kita di atas, dan ada masa kita di bawah. Pasti ada masa kita benar, dan ada masa kita salah. Pasti ada hitam, dan pasti ada putih. Setiap yang bergelar manusia pasti ada melakukan kesilapan. Setiap yang bergelar manusia pasti ada keburukannya.

Kadang kala kita lihat, ada perkara yang baik yang kita buat, dan kita rasa gembira dengan perbuatan kita tersebut. Kadang kala, kita melakukan kesalahan, dan kita berduka dengan perbuatan tersebut.

Kita boleh menulis setiap kesalahan yang kita buat. Mungkin bilangannya mencecah jutaan. Kita boleh mencari setiap kesilapan yang kita buat, sengaja ataupun tidak. Mungkin is akan mencecah ribuan. Tetapi, jika kita cuba mencari kebaikan yang kita buat, kelebihan yang kita ada, mungkin puluhan sahaja yang kita jumpa.

Inilah yang terjadi pada kita seharian. Yang hitam nampak jelas, tetapi yang putih kurang nampak. Bagi kita, putih itu tiada apa-apa jika tidak ada hitam padanya. Kita lupa bahawa putih juga adalah suatu warna. Bahkan, ia adalah gabungan tujuh warna yang kita belajar dalam fizik.

Maka, apabila mindset kita begitu, putih bukan lagi fokus kita. Kita hanya nampak perkara yang negatif pada diri kita dan orang lain. Kita kurang memberikan perhatian kepada perkara positif pada diri kita dan orang lain. Akhirnya kita menjadi putus harapan.

Minda positif akan membawa kepada ledakan potensi diri yang kuat. Rahsia potensi diri bermula apabila kita melihat kebaikan yang ada pada diri kita dan terus menjadikannya sebagai pendorong untuk kebaikan-kebaikan yang lain. Kita hanya akan mempu berjaya jika kita dapat memberikan fokus pada kebaikan kita, dan kurangkan fokus pada kelemahan atau keburukan diri.

Roda motivasi diri akan terus berputar, semakin laju, dan laju. Sekali kita memberikan fokus kepada perkara negatif, ia akan memberhentikan putaran tersebut, dan kita perlu memulakannya semula. Oleh itu, fikirkanlah positif tentang diri anda. Berikan tumpuan kepada perkara baik yang anda ada, lupakan perkara buruk yang anda miliki. Bukalah pintu hati dan minda anda untuk meneroka potensi sebenar diri anda.

Ahmad Safwan Mohamad
Pelajar Tahun 4, Kuliyyah Perubatan, UIAM.
Mantan Chief Coordinator Faciteam.

0 comments: